Kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol dan diesel serta tidak bercadang memansuhkannya dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.
Katanya, setakat ini pendirian kerajaan tetap dengan keputusan itu.
“Setakat ini, sikap kerajaan masih lagi mengekalkan subsidi minyak petrol dan diesel sehingga kerajaan membuat satu keputusan…kita mungkin laksanakan subsidi secara bersasar,” katanya selepas melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Kipmall, Tampoi, Johor.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan pakar ekonomi berkaitan kemungkinan kerajaan perpaduan mengumumkan pemansuhan subsidi petrol dan diesel dalam pembentangan Bajet 2023 sekali gus menggantikan ia dengan sistem bantuan kepada mereka yang memerlukan, lapor Bernama.
Berkenaan ReDI, Ahli Parlimen Pulai itu berkata pihaknya merancang melaksanakan lima program di lokasi tumpuan ramai seperti Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.
“Sehingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak 8,479 peniaga luar bandar beralih ke medium digital dan kini ia diperluaskan lagi di Johor dengan menyasarkan keseluruhan 233 peniaga Kipmall dan 120 peniaga di Pasar Awam Perling,” katanya.
Sebelum ini, program ReDI, yang mengurangkan kebergantungan terhadap wang tunai serta memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga, berjaya dilaksanakan secara rintis antaranya di Putrajaya, Hulu Terengganu, Pulau Pangkor serta Labuan pada tahun lalu.
Leave a Reply