Salahuddin Ayub kembali ke rahmatullah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub meninggal dunia.

Perkara ini dimaklumkan oleh anak perempuannya, Fatihah Salahuddin.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya dalam Facebook.

Semalam, dilaporkan bahawa keadaan Salahuddin stabil selepas menjalani pembedahan kerana pendarahan otak dan beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Beliau dimasukkan ke HSB pada malam Jumaat selepas mengalami mual dan muntah-muntah, menurut setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal.

Dalam pada itu, setiausaha akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.

“Pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak keluarga juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan kepada Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*