Saifuddin : Muhyiddin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menuduh Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja supaya mengelak daripada mempolitikkan penggunaan kalimah Allah.

Saifuddin : Muhyiddin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja

Merujuk ucapan bekas perdana menteri itu pada ceramahnya, Ahad lalu yang mendakwa bahawa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Jill Ireland membuktikan ia bersetuju dengan mahkamah bahawa orang Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, katanya Muhyiddin jelas melanggar larangan menyentuh isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

“Nasihat Majlis Raja-Raja adalah isu ini (berkaitan kalimah) tidak lagi dimainkan dan tidak boleh dipolitikkan.

“Kedegilan Muhyiddin adalah satu yang amat dikesali. Terus memainkan isu 3R di sebalik nasihat Raja-Raja Melayu.

“Kalau sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat raja-raja, percayalah orang macam ini tidak akan menghormati sama sekali rakyatnya sendiri,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian, pada sidang media di Pejabat PKR Kedah di Alor Setar.

Saifuddin : Muhyiddin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja

Saifuddin juga berkata Muhyiddin gagal menghormati keputusan yang dibuat oleh kabinet yang dianggotainya semasa Dr Mahathir Mohamad mengetuai pentadbiran Pakatan Harapan yang

memutuskan kerajaan membuat penyelesaian luar mahkamah.

“Semasa Muhyiddin dan saya sebagai anggota jemaah menteri (2018) bawah pimpinan Dr Mahathir, Kabinet buat keputusan kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah berkait isu tersebut dibuat secara penyelesaian luar mahkamah.

“Keputusannya diusahakan secara berunding di antara kerajaan dengan pihak yang membawa kes ke mahkamah. Malangnya Muhyiddin tidak hormati keputusan itu dan tidak berbuat apa-apa,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menjadikan DAP sebagai sasaran – sama seperti yang lazim dilakukan oleh PN dan Mahathir – dengan mendakwa parti itu telah memanipulasikan Anwar.

“Saudara tahu siapa yang sebabkan dia (Anwar) buat keputusan itu.

“Dia (adalah) Anwar Ibrahim, tapi di sebalik Anwar adalah anggota-anggota parti DAP yang saya tahu waktu saya jadi menteri (dalam negeri) pun mendesak untuk tidak merayu (kes Ireland),” katanya.

Susulan dakwaan Muhyiddin itu, DAP kemudian membuat laporan polis terhadap Muhyiddin itu, kerana memainkan isu 3R.

Ini bukan kali pertama Muhyiddin menggunakan subjek ini untuk meyakinkan pengundi Melayu-Islam supaya menjauhi Pakatan Harapan.

Menjelang PRU15, Muhyiddin mengaitkan PH dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang didakwanya cuba mengambil alih Malaysia.

“Bagi saya ini bahaya. Apakah bermakna akan berlaku proses Kristianasasi? Kita dah dengar cerita ini bukan?

“Di Kuala Lumpur dan di Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian.

“Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka adalah untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia.

“ Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga,” katanya.

  • Turut baca : Anwar ingatkan PAS, ‘malapetaka kalau kamu sentuh raja’

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*