Saifuddin ingatkan Takiyuddin, ‘kehadiran saya di Dewan Rakyat lebih baik dari Hadi’

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kehadirannya di Dewan Rakyat jauh lebih baik berbanding Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Semasa ucapan penggulungan di Parlimen hari ini, Saifuddin menyentuh mengenai perkara itu selepas Takiyuddin Hassan (PN – Kota Bharu) menegaskan dia tidak hadir semasa pengundian tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Soal sindir saya datang tak datang, saya nak jamin satu perkara, kedatangan saya dalam dewan jauh lebih baik dari rekod Marang (Hadi) hadir dalam dewan. Itu fakta. Kalau setakat satu dua undi saya tak hadir apa sangat nak jadikan isu.

“Rekod saya lebih baik dari rekod Marang hadir dalam dewan. Itu fakta, toksah dok bahas,” katanya.

Menurut data daripada inisiatif masyarakat sivil MyMP, Hadi hanya menghadiri 54 daripada 162 persidangan parlimen sejak 26 Julai 2021.

Laman itu turut menyenaraikan Hadi sebagai salah seorang ahli parlimen dengan kehadiran paling rendah di Dewan Rakyat pada 2023.

Laman web itu bagaimanapun tidak mempunyai data mengenai Saifuddin kerana dia kini seorang senator.

Sebelum ini, Saifuddin merupakan ahli parlimen Kulim – Bandar Baru dari 2013 hingga 2022.

Terdahulu, Takiyuddin mempersoalkan ketidakhadiran Saifuddin semasa pengundian pertama dan kedua berhubung perkara itu, dan bertanya alasan ahli majlis pimpinan pusat PKR itu tidak hadir.

Dia juga mendesak Saifuddin menjelaskan mengenai pendirian kerajaan berhubung pemansuhan Sosma, memetik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018 bahawa Sosma lebih teruk daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Untuk rekod, Anwar telah ditahan di bawah ISA yang kini sudah dimansuhkan dan dipenjara selama 12 tahun.

Sambil menolak kenyataan Takiyuddin sebagai kenyataan politik, Saifuddin menyatakan bahawa walaupun beberapa peruntukan Sosma akan kekal, yang lain akan dikaji semula untuk memastikan kestabilan negara dan keselamatan awam.

Sebagai tindak balas kepada Takiyuddin yang mengaitkan isu itu dengan kenyataan Anwar pada masa lalu, Saifuddin membalas dengan mengatakan bahawa sepanjang 33 bulan PN berkuasa, tiada undang-undang Hudud diperkenalkan.

“Umpamanya samalah sebelah sana (PAS) pun. ‘Negara Islam nyawa kami Hudud ini nyawa kami’, (tapi) 33 bulan berkuasa satu ayat satu akta pun tak bentang dalam dewan ini.

“Saya boleh sebut yang sama. Apakah komitmen Yang Berhormat (Takiyuddin) sudah berubah untuk menegakkan negara Islam sebagai cita-cita perjuangan PAS? Apakah yang berhormat sudah berubah dari segi komitmen untuk melaksanakan Hudud?” katanya.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*