Saifuddin beri bayangan awal Sosma boleh dipinda

“Semua undang-undang yang digubal Parlimen bersifat dinamik dan ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.”

Demikian jawatan tersirat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil memberi bayangan awal bahawa akta tersebut juga mungkin boleh sahaja dipinda.

Bagaimanapun dalam nada nada berlapik, beliau yang baru dilantik memegang jawatan itu pada 3 Disember lalu menjelaskan, ia bukanlah bermaksud dikaji balik masa sekarang.

“Cuma, kalau ditanya oleh pihak wartawan apakah (SOSMA akan dipinda) sekarang, maka, saya jawab tidaklah ia beri maksud begitu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan buat julung kali ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan turut diiringi oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman.

Semalam, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin agar dapat mempertimbangkan balik pendiriannya mengenai SOSMA yang disifatkan terlalu keras.

Ini termasuk Seksyen 4 akta tersebut yang membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa bicara di mahkamah kerana mengakibatkan tiada semak dan imbang kuasa.

Ia susulan kenyataan Saifuddin sehari sebelum itu mengakui pihak polis mematuhi segala proses penguatkuasaan SOSMA, malah, digunakan demi menjamin keselamatan rakyat.

Pandangan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu dikritik penyokong blok tersebut kerana bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini mahu SOSMA dikaji semula.

Undang-undang keras itu mula digubal pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui ada menerima panggilan telefon daripada Gobind dan menegaskan bahawa prinsipnya bahawa semua undang-undang tidak kekal selamanya.

“SOSMA pun begitu dan ia bersifat dinamik yang boleh dipinda pada bila-bila mengikut keperluan kerana setiap akta digubal selama ini bukanlah sempurna langsung,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak salah faham dengan kenyataannya yang pernah mengakui bahawa SOSMA adalah lebih baik berbanding ISA dan Ordinan Darurat.

Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataan ketika diwawancara stesen RTM malam tadi mengenai SOSMA yang membolehkan pihak polis membanteras jenayah terancang.

Namun, pada masa sama, Saifuddin menjelaskan bahawa setakat ini secara umum ada juga beberapa peruntukan dalam akta itu yang perlu dinilai semula untuk dibuat pindaan.

Saifuddin beri bayangan awal Sosma boleh dipinda

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*