RUU PSB: ‘Kalau betul nak tolong Melayu, ini cara dia’ – PM Anwar

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat akan membolehkan rakyat yang tinggal di perumahan dianggap miskin menjalani kehidupan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, antara contoh adalah mengambil alih dan pembangunan semula di Kerinchi yang dulu rumah terlibat dianggap miskin.

“Kita ambil contoh, Residensi Kerinchi yang dekat. Berapa kos rumah yang dianggap miskin? Itu semasa pengambilan alih dan pembangunan semula, itu kosnya RM70,000, 418 kaki persegi. Kemudian dinaikkan kepada 882 kaki persegi.

“Maka syaratnya, tidak boleh murah daripada dulu, tidak boleh kecil daripada dulu. Itu prinsip yang dalam diterima pakai yang dibuat. Akhirnya daripada RM70,000 kos naik sampai RM350,000 hingga RM400,000.

“Kalau betul nak tolong Melayu, ini cara dia. Mana orang yang miskin, yang kita gunakan seluruh tenaga, jana untuk membangunkan mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai komitmen kerajaan memastikan tiada sesiapa pemilik tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan disebabkan RUU berkenaan.

Terdahulu, Anwar menjelaskan, kerajaan tidak boleh mengorbankan seluruh projek pembangunan semula yang dipersetujui oleh 99 peratus pemilik hartanah hanya kerana seorang tidak mempersetujuinya.

Beliau berkata, antara contoh salah satu projek di rumah pangsa Jalan Tun Razak apabila majoriti pemilik. setuju, tetapi kerana seorang tidak bersetuju maka hingga sekarang perumahan itu lapuk, lembap dan daif di tengah ibu kota.

“Kita mengambil kira masalah yang dihadapi oleh rakyat. Kita ambil umpama contoh, saya pergi ke flat Sri Perlis, Bandar Tun Razak, di antara yang paling lama, satu kamar, yang paling daif.

“Bagi tahap kerajaan yang melihat semua projek-projek baru dan mercu tanda dan perubahan baik, kita tak boleh biarkan begitu sahaja, maka perundingan harus dimulakan,” katanya.

Justeru, katanya, ambang persetujuan yang dicadangkan adalah 80 peratus bagi bangunan kurang 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun dan 51 peratus majoriti mudah bagi rumah terbiar dan terbengkalai.

Tambah beliau, tidak timbul Jawatankuasa Eksekutif Rumah mengambil alih peranan kerajaan negeri kerana tanah kerajaan negeri kekal dalam hal tersebut.

“Tak boleh kita biar orang miskin majoriti Melayu, India di situ, ada sedikit Cina, tetapi majoriti Melayu dalam keadaan begitu, tapi jamin hak dia kekal jamin rumah itu akan lebih mahal, lebih baik.

“Kalau sekarang satu bilik, sekurang-kurangnya tiga bilik. Itu syarat dia. Jadi maknanya bila mereka lihat itu, saya rasa boleh kita laksanakan,” katanya.

Baca juga :

Konon sehari untung 10%, nenek berputih mata rugi RM4 juta

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*