Kos Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri lebih murah berbanding menganjurkan jamuan Aidilfitri di Putrajaya, kerana kehadiran yang lebih rendah dan tanggungan, kata Rafizi Ramli.
Menteri ekonomi itu berkata jamuan kerajaan perpaduan itu menganggarkan 10,000 kehadiran setiap satu, berbanding 100,000 orang bagi rumah terbuka di Putrajaya.
“Rumah Terbuka di Putrajaya sebelum ini yang dianjurkan oleh kerajaan yang dianggotai Perikatan Nasional sebenarnya lebih mahal,” katanya di TikTok.
Di samping itu, Putrajaya hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir PAS, manakala rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan negeri.
“Sebab itu kosnya lebih murah,” kata Rafizi, yang juga timbalan presiden PKR.
Ahad lalu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata majlis rumah terbuka kerajaan persekutuan itu sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan, dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.
Timbalan Setiausaha PN, Takiyuddin Hassan, sebelum ini juga dilaporkan berkata rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada esok itu bermotifkan politik.
Rumah terbuka di Kedah akan disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.
Rafizi berkata kritikan PN terhadap kerajaan Anwar juga tidak lain hanya bermotifkan politik, dan tidak akan ada kesudahannya.
“Kalau kerajaan persekutuan tidak turun menyantuni rakyat di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, mereka akan pertikaikan kami pinggirkan rakyat di negeri pembangkang.
“Bila kita turun menyantuni rakyat, mereka juga katakan ini satu pembaziran dan bertujuan untuk kempen. Siri pertikaian PN ini tidak akan habis.”
Rafizi turut menegur kerajaan negeri khususnya pentadbiran Kedah dipimpin Sanusi Md Nor agar terus menumpukan membangunkan ekonomi rakyat daripada terus mempolitikkan tindakan kerajaan pusat.
“MB Kedah juga ada tanggungjawab untuk perbaiki bekalan air di Kedah, jangan sampai ulang lagi rakyat Kedah terpaksa beraya tanpa bekalan air macam tahun ini,” katanya.
Leave a Reply