Rumah pegawai polis dipecah masuk di Klang

Seorang pegawai polis kerugian RM5,000 selepas kediamannya dipecah masuk dua penyamun dalam kejadian di Jalan Seri Damak 22, Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.20 petang dengan kedua-dua suspek menaiki kenderaan mewah jenis Mercedes Model C300.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut disedari mangsa berusia 36 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam selepas dimaklumkan jirannya kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, mangsa kemudiannya pulang ke rumah dengan mendapati tiga unit beg pelbagai jenama dan masing-masing sebuah beg duit serta telefon bimbit selain wang tunai RM100 telah hilang.

“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati suspek dipercayai menaiki Mercedes Model C300 dengan nombor pendaftaran QT 1200 dipercayai palsu, telah parkir di hadapan rumah mangsa.

“Dua suspek lelaki telah turun dari kereta tersebut dan mengumpil pintu grill rumah mangsa,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek juga didapati beredar menggunakan kenderaan sama selepas mengambil barangan daripada rumah mangsa.

Justeru, Hoong Fong meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*