Remaja dituduh curi RM100 sering meraung di ICU, teringat dibakar hidup-hidup

Remaja lelaki berusia 15 tahun yang melecur dipercayai dibakar rakannya, masih trauma dengan kejadian tersebut di Kampung Perasing Jaya, Jabor di sini pada Jumaat lalu.

Ibu mangsa, Anisah Takzim, 50, berkata, anaknya, Muhammad Fiqrie Adam Abdullah yang kini dirawat di unit kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, mengadu sering termimpi dan teringat peristiwa yang menyebabkan dia melecur dari leher hingga bahagian depan dan belakang badan.

“Dia juga banyak termenung dan kurang bercakap. Kalau saya tanya apa-apa, baru dia beritahu.

“Saya juga tak nak beri tekanan pada dia dan saya tidak minta dia bercerita tentang kejadian yang berlaku, melainkan dia sendiri yang mulakan perbualan sebab nak bagi ruang untuk dia bertenang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Anisah berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga sering meraung kesakitan, hampir setiap hari.

“Tak sampai hati saya tengok dia menangis menjerit sakit dan mengadu panas. Sedih saya lihat keadaan dirinya,” katanya.

Ibu tunggal tersebut berkata, dia mahu pelaku yang menyebabkan anaknya mengalami kecacatan kekal menerima hukuman yang setimpal.

“Saya mahu dia diberikan hukuman sebagai pengajaran. Kalau dia sepak dan terajang anak saya, mungkin saya masih boleh terima. Bila dah bakar dan aniaya anak saya sebegini, saya tak boleh terima,” katanya.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan remaja lelaki tersebut melecur 40 peratus selepas dipercayai disimbah cecair jenis minyak sebelum dinyalakan api gara-gara dituduh mencuri wang RM100.

Seramai enam suspek yang membakar mangsa kemudian ditahan polis dan direman selama lima hari bermula pada Sabtu dan Ahad lalu.

Turut baca

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*