Remaja 14 tahun menyamar jadi ‘doktor’ akan dirujuk pakar psikiatri

Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, akan dirujuk pakar psikiatri dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati tindakan remaja itu dipercayai disebabkan kerana dia mengalami fikiran terganggu.

“Tiada sebarang motif dan dia (suspek) akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri.

“Remaja itu akan dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas tempoh remannya tamat hari ini (Sabtu) sementara kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi.

Perintah reman dua hari bermula Jumaat terhadap remaja itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret Sepang.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Kosmo! melaporkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja warga tempatan itu ditahan pukul 9 pagi di lobi HSIS.

Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan ‘lanyard’ hak milik hospital yang digunakan oleh remaja berkenaan.

Suspek dikatakan telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.-

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*