Rekod sebulan pentadbiran Anwar lebih baik berbanding PM sebelumnya

Rekod sebulan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-10 nyata lebih baik berbanding mana-mana PM dalam tempoh lima tahun lalu.

Meskipun beberapa tulisan telah membariskan rekod utama kejayaan Anwar di samping menteri Kabinet lain dalam merangka polisi, namun banyak lagi yang belum didedahkan.

Sejak 24 November lalu, tarikh Anwar mengangkat sumpah jawatan, berpuluh-puluh perubahan atau reformasi telah dilaksanakan berbanding sebulan pertama Tan Sri Mahiaddin Yassin (kerajaan PN) atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN – PN) menerajui Kerajaan Persekutuan:

1. Mengarahkan penjimatan di kementerian dan jabatan

Kementerian dan jabatan sebelum ini membazir dengan mengadakan majlis secara besar-besaran atau menempah baju untuk staf dan sebagainya.

Begitu juga pengubahsuaian pejabat menjadi amalan lazim sebahagian besar ketua jabatan baharu. Namun, amalan buruk itu diarah dihentikan.

2. RM100 juta untuk bantuan banjir Kelantan dan Terengganu

Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak memperuntukkan jumlah yang tinggi dalam bantuan banjir, terutama bagi Kelantan yang merupakan kubu pembangkang tegar.

3. BERNAS bantu pesawah miskin RM60 juta

Belum pernah kerajaan Malaysia mencadangkan keuntungan konglomerat dikongsikan bersama rakyat atau petani bawahan.

4. Potongan cukai taksiran 30 peratus kediaman di Putrajaya

Kerajaan sebelum ini tidak melakukan potongan sedemikian kecuali ketika keadaan ekonomi tenat sebagaimana sepanjang era Covid-19 lalu.

5. Skim internet murah RM5 sebulan

Skim terdahulu di bawah jenama Jendela menyediakan tawaran hampir sama tetapi kali ini data internet ditingkatkan daripada 1 Mbps kepada 3 Mbps dan kuota daripada 20GB ke 30 GB dengan harga lebih murah serta boleh dilanggan oleh belia, veteran, B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

6. Bubar Majlis Pemulihan Negara

Majlis Pemulihan Negara dibentuk untuk memberi jawatan kepada bekas PM Mahiaddin Yassin namun majlis berkenaan tidak dipakai syornya oleh pentadbiran PM Ismail Sabri.

7. Kawal selia gas Sabah dikembalikan

Kawal selia sektor gas di Sabah diserahkan kepada kerajaan Sabah bagi menambah pendapatan negeri sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963.

8. Menghidupkan majlis ilmu mingguan di Sri Perdana

Kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana digunakan untuk menghidupkan majlis ilmu dan memanggil ilmuan atau ulama memberikan ceramah pada hari hari tertentu.

9. Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150

BAP diwujudkan sejak 2012, nilai sebelum ini RM100 dan diperuntukkan kepada keluarga miskin. Kerajaan Perpaduan meluluskan bantuan persekolahan RM150 kepada murid tanpa mengira pendapatan penjaga.

10. Tarif gas diturunkan

Tarif gas diturunkan mulai Januari tahun hadapan antara 5 – 9 peratus. Penurunan tersebut dilakukan bagi mengurangkan kos industri supaya produk pengguna lebih murah. Tarif gas kegunaan domestik yang rendah juga akan mengurangkan beban rakyat.

Rekod sebulan pentadbiran Anwar lebih baik berbanding PM sebelumnya

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*