RCI Batu Puteh: 47 muka surat ‘dihitamkan’ atas faktor keselamatan negara, kata Azalina

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, berkata 47 muka surat laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan “dihitamkan” atas faktor risiko keselamatan negara.

Beliau berkata, ada kandungan dalam laporan RCI itu yang jika didedahkan akan menjejaskan keselamatan negara.

“Saya nak jawab di sini bahawa isu 47 muka surat yang dihitamkan disebabkan faktor kebimbangan terhadap risiko keselamatan negara, hubungan diplomatik yang sensitif serta perlindungan privasi individu.

“(Di) mana maklumat tertentu yang dihitamkan dalam laporan ini bersifat sensitif, termasuk melibatkan pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain,” katanya semasa menggulung Usul Laporan RCI berhubung Pengendalian Kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, dari segi sensitif diplomatik, kawasan perairan Batu Puteh ialah laut wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, laporan itu mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan sedang diadakan dan butiran perbincangan dua negara yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik atau rundingan masa depan.

“Bagi perlindungan data peribadi, eksibit laporan ini mengandungi maklumat peribadi yang sensitif tentang individu, pegawai dan saksi persendirian turut dihitamkan.”

Katanya, langkah itu bagi memastikan laporan didedahkan tidak membawa kemudaratan, sama ada dari segi politik, diplomatik atau keselamatan negara serta untuk mengimbangkan ketulusan dan melindungi maklumat sensitif.

Terdahulu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan cacat serta berniat buruk terhadap individu tertentu.

Beliau dilaporkan berkata, Ahli Parlimen tidak diberikan maklumat penuh, sedangkan laporan itu dibahaskan demi kepentingan negara.

Sepuluh wakil rakyat membahaskan laporan RCI itu selepas dibentangkan Azalina.

Dalam pada itu, Azalina berkata, muka surat itu dihitamkan kerajaan selepas ditanya Takiyuddin.

Timbul sedikit kekecohan sebelum Azalina mengakhiri penggulungannya, selepas pembangkang tidak bersetuju dengan penjelasannya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*