Rayuan akhir : Debaran menemani Najib

Walaupun berdebar bercampur gelisah menanti keputusan rayuan terakhir, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan tenang sebaik sahaja tiba di Istana Kehakiman di sini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu yang tiba pada pukul 9.20 pagi dengan memakai suit berwarna gelap dengan ditemani beberapa penyokong beliau.

Najib kemudian melambai sambil melemparkan senyuman kepada petugas media yang hadir membuat liputan prosiding di mahkamah tersebut.

Namun isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak kelihatan pada hari ini walaupun semalam hadir bagi menemani untuk memberikan sokongan kepada Najib.

Najib kini merayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Nasib beliau bakal ditentukan oleh lima lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain Tengku Maimun, panel lima hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah menjadi Penasihat Emeritus SRC dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Turut baca

 

Rayuan akhir : Debaran menemani Najib

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*