Rasuah RM15 Juta projek pengkalan Pahang: 3 individu ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam penerimaan rasuah berjumlah kira-kira RM15 juta bagi mendapatkan projek pembinaan sebuah pengkalan di Pahang.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

Sumber berkata, suspek pertama dipercayai seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut, manakala dua lagi suspek yang juga pengarah syarikat berbeza disyaki meminta serta menerima rasuah yang kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Februari dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*