Rasuah projek RM250 juta: Lagi individu bergelar Datuk ditahan SPRM

KUCHING – Seorang lagi individu bergelar Datuk telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah melibatkan projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta di Sarawak.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama lima hari sehingga Ahad ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek dipercayai merupakan rakan kongsi kepada seorang pengarah syarikat yang sebelum ini telah ditahan oleh SPRM pada Khamis lalu.

Kata sumber, kedua-dua mereka didakwa berpakat dan berkomplot untuk mendapatkan projek pembinaan yang dikeluarkan oleh pejabat kerja raya di salah sebuah daerah di Sarawak.

“Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta.

“Suspek telah ditahan sekitar pukul 6.30 petang semalam di sebuah daerah di Sarawak,” katanya.

Setakat ini, SPRM telah menahan tiga suspek termasuk seorang jurutera awam yang turut dikaitkan dengan kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaru ini dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan bagi membantu siasatan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*