Rasuah perlombongan pasir, SPRM jumpa petunjuk baharu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui petunjuk baharu membabitkan siasatan dakwaan rasuah konsesi perlombongan pasir babit Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki bagaimanapun berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan perkara itu kerana masih mengumpul keterangan daripada saksi.

“Siasatan masih lagi dijalankan dan keterangan saksi sedang dikumpulkan. Memang ada keterangan baharu yang diperoleh, tetapi buat masa ini saya tidak boleh kongsikan lagi.

“Ada petunjuk baharu yang menunjukkan saham yang diperoleh oleh (individu) yang terbabit dalam siasatan ini diperoleh untuk kegunaan sendiri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di Nilai hari ini, menurut Berita Harian.

Mengenai individu berpengaruh yang akan ditahan seperti dikatakan sebelum ini, Azam memberitahu SPRM masih mengumpul bukti dan melihat sama ada hasil keterangan menjurus kepada individu terbabit atau sebaliknya.

“Apabila sampai masa kelak, kita akan panggil. Buat masa ini kumpul semua bukti dulu jika individu itu berkaitan dan sekiranya perlu, kita perlu lihat adakah menjurus kepada beliau atau tidak.

“Sekiranya betul-betul menjurus kepada beliau, beliau perlu menjawab untuk tujuan membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan dan bekas ketua pegawai operasi (COO) MBI yang direman tujuh hari sudah dibebaskan.

Katanya, SPRM turut menyerbu sembilan premis di sekitar Lembah Klang namun tidak ada sitaan premis atau kenderaan dilakukan kerana tiada keperluan.

Media sebelum ini melaporkan agensi anti rasuah itu menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safe house’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing bernilai sekitar RM5 juta.

Susulan itu, SPRM dilaporkan menggeledah dua lagi tempat yang dipercayai dijadikan sebagai safe house, membabitkan sebuah pejabat dan satu lagi tempat yang tidak diperincikan dan membawa kepada penemuan wang kira-kira RM321,000.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*