Rasuah, gubah wang haram, bekas setiausaha KBS dipenjara 15 tahun, denda RM283 juta

Bekas setiausaha bahagian kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd dihukum penjara 15 tahun dan didenda lebih RM283 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38 juta.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini mensabitkannya atas 96 pertuduhan bagi kesalahan yang didakwa berlaku antara 2012 dan 2015.

Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.

Ini melibatkan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 18(a) Akta SPRM 2009 atas dakwaan mengemukakan tuntutan palsu, manakala baki 15 pertuduhan adalah berhubung salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 (1) akta yang sama.

Lelaki berusia 64 tahun itu turut didakwa atas 64 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa menerima RM16,623,000 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad miliknya.

Otman dituduh melakukan kesalahan salah guna kuasa dan tuntutan palsu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di Kuala Lumpur, antara 28 Feb 2012 dan 18 Nov 2015.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara 7 Mac 2012 dan 11 Dis 2015.

Bagaimanapun, hakim Kamarudin Kamsun membenarkan Otman yang diwakili peguam Rafique Rashid Ali menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*