“Rasa ralat tak sempat ikut video call…” Mak salam, peluk dengan erat sebelum bertolak ‘petanda ajal’

Menyayat hati, kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga dalam nahas di Kilometer 62 jalan raya Timur Barat (JRTB) Gerik -Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa.

Dalam nahas itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Menurut Mohammad Firdaus Mohd Rodhi, 35 yang merupakan anak sulung pasangan Mohd Rodhi Othman dan Sharifah Rohana Syed Sagaf pemergian lima sekeluarga itu ke Kelantan bagi menghantar adiknya yang berusia 29 tahun memasuki sekolah pondok di Pasir Tumboh, namun perlu segera pulang ke Pulau Pinang susulan terdapat kematian ahli keluarga jauh yang lain.

Katanya, mereka sepatutnya pulang pada Ahad, namun mempercepatkan perjalanan balik kerana mahu menghadiri pengebumian seorang saudara rapat yang meninggal dunia.

“Pagi Jumaat itu bila saya datang rumah nak tengok mereka pergi, mak salam dan peluk saya dengan erat. Situasi ketika itu sedikit pelik rasa macam hari raya.

“Suasana pun macam sedih dan lain dari kebiasaan, tetapi saya tak fikirkan sangat, sampailah kejadian ini berlaku, baru saya sedar mungkin itu petanda mereka pergi selamanya,” katanya.

Berkongsi detik sebelum kejadian, Firdaus memaklumkan bahawa dia sempat menghubungi ibunya pada sebelah pagi dan pada sebelah petang beberapa jam sebelum kejadian, adik perempuannya sempat membuat panggilan video dengan adik-beradik yang lain.

“Mak beritahu mereka semua dah makan dan sedang bersiap-siap untuk bertolak balik. Dalam jam lebih kurang 2 petang, adik-adik saya sempat buat video call dalam kereta, mereka maklumkan ketika itu sudah sampai di Jeli.

“Rasa ralat itu ada sebab saya tak sempat nak ikut sama video call, kalau tak, dapatlah saya tatap wajah mereka buat kali terakhir,” katanya.

Semasa mengetahui kejadian nahas itu, dia menghubungi polis dan dimaklumkan ada 10 mangsa terlibat dengan lima daripadanya meninggal dunia.

“Saya ingatkan semua mangsa itu mungkin dari dua kenderaan berbeza, tetapi tak sangka kelima-lima itu semuanya melibatkan keluarga saya.

“Sedih memang sedih, tetapi ini takdir yang perlu kami terima kehilangan lima keluarga serentak,” katanya.

Dia berkata, bapanya merupakan bekas pensyarah dan ibunya bekas guru sangat aktif walaupun telah bersara dengan terlibat dalam perusahaan kolam ikan.

Sementara adik perempuan dan suaminya masing-masing bekerja sebagai pereka grafik.

Semua jenazah akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang pada Ahad.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*