Rangka manusia ditemui dalam loji kumbahan di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia ditemui di loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar di sini.

Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan pada semalam mengenai penemuan objek menyerupai tulang manusia oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan.

Katanya susulan dari laporan polis tersebut, pihaknya dibantu unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke lokasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai kain pelikat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Penawar memberikan bantuan mengeluarkan rangka serta tulang yang ditemui tersangkut di tengah-tengah mesin kisar tapis sampah itu.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh yang dibuat di lokasi kejadian, pihak polis berjaya menjumpai satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul dan segumpal rambut,” katanya.

Menurut Yusof, spesimen tulang telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-444 6871 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis daerah Kota Tinggi ditalian 07-883 7222,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*