Ramai graduan ditipu ‘jurusolek’ ghaib, WhatsApp disekat

Sepanjang November ini, kebanyakan institut pengajian tinggi awam dan swasta meriah dengan majlis konvokesyen bagi meraikan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Bagaimanapun, dalam keseronokkan bergelar graduan, ramai berkongsi pengalaman pahit mereka apabila ditipu pihak jurusolek (MUA) sehingga ada yang terpaksa bersiap hanya memakai gincu dan bedak ketika mengambil skrol di atas pentas.

Menerusi perkongsian seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Feglina di Facebook, dia mendakwa telah ditipu oleh seorang jurusolek ketika hadir majlis konvokesyen di Kedah baru-baru ini.

Katanya, bayaran penuh juga telah dibuat, namun jurusolek tersebut gagal menghadirkan diri pada waktu yang dijanjikan.

“Masa konvokesyen ada tempah MUA tapi dia tidak datang masa hari kejadian, kiranya kena scam (tipu) la sebab kawan pun tempah dengan orang sama dan mmg dia tidak datang.

“Saya sudah juga tanya-tanya alumni UUM tahun lepas dan mereka ada makeup (bersolek) dengan MUA ini, sebab itu saya teruskan. Namun, mungkin tahun ini dia memerlukan duit barangkali sampai tipu pelajar,” katanya.

Sementara itu, seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Syafiqah Shah turut berdepan pengalaman sama, apabila kurang dua jam sebelum waktu yang sepatutnya jurusolek terbabit tiba, individu berkenaan secara tiba-tiba membatalkan tempahannya.

“Janji datang makeup (solek) pukul 6.30 pagi sebab saya nak kena daftar untuk majlis pukul 8 pagi. Mujur hotel dengan UiTM tak jauh.

“Seramnya, pukul 5 pagi MUA mesej kata dia terpaksa cancel (batal) atas hal peribadi. Sekarang (semalam) dah masuk hari keempat dia tak balas mesej saya untuk minta pulang bayaran penuh iaitu RM150,” luahnya.

Seorang lagi graduan UiTM, Babynell memberitahu, dia bersama dua rakannya mengalami kerugian keseluruhan RM540 gata-gara jurusolek gagal dihubungi pada hari kejadian.

“Sehari sebelum dia siap minta lokasi hotel kami, janji akan datang sekitar 5.30 pagi. Sampai sudah panggilan tidak dijawab, WhatsApp kami juga kena sekat. Allah, kami semua belum kerja tetap, duit yang ada kumpul semata-mata nak nampak cantik masa konvoksyen.

“Sudahlah kami bertiga tak pernah makeup (bersolek), akhirnya hanya pakai bedak dan gincu naik pentas,” luahnya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*