Rafizi : Subsidi bersasar RON95 dilaksana separuh kedua 2024

Kerajaan akan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2024, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, ia bagi memastikan subsidi secara bersasar disalurkan kepada “golongan paling memerlukan” dan mengoptimumkan sumber Putrajaya.

Beliau berkata, kerajaan bersedia mengambil langkah tegas yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Kumpulan T20 menerima 53% subsidi minyak menyeluruh yang mana ianya bukan model mampan selain tidak adil.

“Justeru, kerajaan kita akan melaksanakan program subsidi RON95 pada separuh kedua 2024,” katanya.

Ketika ini, RON95 disubsidi kerajaan dengan bahan bakar itu dijual RM2.05 seliter.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata subsidi diesel akan dirasionalisasikan secara berperingkat.

Langkah itu merupakan usaha kerajaan merasionalkan subsidi keseluruhan memandangkan RM55.443 bilion dibelanjakan bagi tujuan itu pada 2022.

Rafizi berkata, kerajaan perlu mencari kaedah lain menguruskan sumbernya dengan mengurangkan ketirisan dan pembaziran sumber.

“Satu dimensi yang tidak dapat dielak adalah menangani ketidakcukupan pendapatan adalah meningkatkan kutipan cukai kita. Membelanjakan wang yang kita tidak ada sama sekali tidak kondusif.”

Beliau berkata, Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sangat penting bagi membolehkan kerajaan merasionalisasikan subsidi atau melaksana reform kebajikan sosial.

Rafizi berkata demikian ketika berucap pada konvensyen ekonomi kebangsaan di Tun Razak Exchange (TRX).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*