Rafizi : Populariti Anwar pertengahan penggal lebih baik berbanding 3 PM terdahulu

Kemerosotan populariti sesebuah kerajaan pada pertengahan penggal ialah perkara biasa, malah turut dihadapi tiga perdana menteri terdahulu, kata Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu berkata, berdasarkan kaji selidik dalaman parti, populariti Anwar Ibrahim lebih baik selepas setahun menjawat jawatan tertinggi negara itu, berbanding Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

“Pada bacaan saya, melihat dapatan daripada kaji selidik Merdeka Center, sebenarnya penilaian kelulusan (Anwar) lebih baik daripada perdana-perdana menteri sebelum ini, selepas setahun (memegang jawatan).

“Untuk menilai suasana sebenar, kita kena bandingkan pola sokongan itu dengan perdana menteri lain sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perasmian Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurutnya, kerajaan pimpinan Anwar ketika ini berada dalam keadaan baik, berdasarkan kestabilan politik dan sokongan rakyat secara status quo.

Justeru, katanya, Perikatan Nasional (PN) tidak dapat mengekalkan momentum seperti sebelum PRN, yang berdasarkan anggapan kerajaan perpaduan akan jatuh.

“Penyokong (PN) sendiri lihat kerajaan ini tidak akan jatuh dan akan kekal sampai lima tahun,” katanya.

Rabu lepas, Merdeka Center mengeluarkan dapatan kaji selidik yang menunjukkan rating penerimaan terhadap Anwar merosot selepas setahun pentadbirannya.

Firma itu berkata, hanya separuh daripada responden kaji selidik yang dijalankan pada penghujung bulan lepas itu memberikan maklum balas positif, berbanding 68% dalam kaji selidik yang dijalankan pada Disember tahun lepas, iaitu hanya sebulan selepas Anwar mula menerajui Putrajaya.

Mengambil maklum rating kerajaan persekutuan ketika ini yang berada pada 41%, berbanding 54% pada Disember tahun lepas, kaji selidik kali ini menunjukkan tahap tidak puas hati terutama berkaitan ekonomi, meningkat kepada 43% daripada 19%.

Kaji selidik yang dilaksanakan dengan dana sendiri itu membabitkan 1,200 responden merangkumi 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam, dan 6% Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan profil pengundi negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*