Rafizi : PAS menang besar PRU15 kerana retorik kaum, majlis mewah

PAS mencapai kemenangan terbesar mereka pada PRU15 disebabkan retorik perkauman dan dengan menganjurkan majlis makan malam mewah, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata, politik wang dan retorik yang sering diulang-ulang bahawa “orang bukan Melayu akan mengambil alih negara” ialah punca utama kemenangan besar parti Islam itu pada PRU15, bukannya pengaruh video TikTok.

Perikatan Nasional (PN) memenangi 74 kerusi pada PRU15, dengan PAS memperoleh 49, jumlah kerusi tertinggi diperoleh mana-mana parti tunggal pada pilihan raya tersebut.

Sebagai perbandingan, DAP menang 40 kerusi, PKR (31), Umno (26) dan Bersatu (25).

Dalam ceramah kepada ahli PKR Kedah dan Pulau Pinang di sini malam tadi, Rafizi berkata, PAS mendapat manfaat dari segi kewangan semasa mereka berada dalam kerajaan, dan mereka menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk menganjurkan majlis makan malam mewah dengan kerap.

“(Mereka menang kerana) faktor wang, bukan TikTok. Di kampung halaman saya di Terengganu, saya dengar cerita orang minta duit mana sahaja mereka pergi. Kenduri juga dibuat di mana-mana. Ini faktor-faktor yang mempengaruhi kemenangan PN,” katanya.

Rafizi berkata, beliau menjangkakan PAS akan kembali kepada kempen derma “tin Milo” pada majlis politik kerana tiada kempen politik yang dipacu wang dapat dikekalkan.

Beliau berkata, taktik yang digunakan oleh PAS dan PN menyebabkan peralihan 70-80% dalam kalangan pengundi Melayu di Kedah, yang tidak dilihat dalam pilihan raya lain sebelum ini.

“PN mencetuskan ekstremisme perkauman untuk menyebabkan peralihan yang begitu besar. Ini lebih membimbangkan saya. Corak pengundian Melayu dahulunya seimbang. Sebelum ini, marginnya sempit. Buat pertama kali, ia seluas ini. Kita perlu atasi trend berbahaya ini.

“Kita tiada ‘peluru perak’ atau pil ajaib untuk capai kemenangan. Segelintir antara kita terpaksa akui, ia berpunca daripada kelemahan kita,” katanya dalam penilaiannya tentang prestasi PKR di Kedah. Dalam tempoh empat hingga lima tahun lepas, tambahnya, parti itu menjadi kurang agresif.

Rafizi juga mengecil-ngecilkan faktor Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dalam kemenangan besar PN pada PRU15, apabila semua kecuali satu daripada 15 kerusi Parlimen dimenanginya di negeri itu.

Sanusi baru-baru ini mendakwa PN boleh memenangi 33 daripada 36 kerusi pada PRN yang akan diadakan tahun ini.

Rafizi berkata, walaupun PKR mencatat prestasi buruk pada PRN Johor, parti itu terus berusaha, memenangi kerusi Parlimen Segamat, Sekijang dan Ledang di sana.

“Dalam tempoh enam bulan, kita berjaya menarik pengundi di Johor kembali kepada kita,” katanya.

Beliau juga berkata, di Kedah dan Pulau Pinang, wujud puak-puak degil dalam Pakatan Harapan (PH) yang enggan mengikut formula bersandarkan data untuk membantu parti itu pada PRU15. Halangan seperti itu perlu diatasi, tambahnya.

Menurut Rafizi, di Kedah, terdapat lima kerusi DUN dimenangi PKR pada PRU 2018 (PRU14) yang berisiko pada PRN akan datang, iaitu Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Kulim dan Lunas.

Menyentuh tentang kekalahan PKR di kubu tradisinya di Pulau Pinang, Permatang Pauh, yang dipegang oleh keluarga Anwar Ibrahim selama beberapa dekad, Rafizi berkata, PAS menang dengan “majoriti tipis”.

Pada PRU15, PAS memenangi pertembungan empat penjuru di Permatang Pauh dengan majoriti 5,272, setelah memperoleh 37,638 undi berbanding 32,366 diperoleh PH-PKR dan 16,971 oleh Barisan Nasional. Calon Pejuang hanya memperoleh 473 undi.

“‘Tsunami’ ini tidak akan kekal. Sentimen, seperti tsunami, akan surut selepas beberapa ketika. Persoalannya sekarang, berapa cepat ia akan surut?”

Rafizi : PAS menang besar PRU15 kerana retorik kaum, majlis mewah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*