Puluhan orang cedera di selatan Filipina kelmarin ketika golongan ibu bapa dan pelajar berpusu-pusu mendapatkan bantuan wang tunai menjelang pembukaan sesi persekolahan.
Orang ramai mula berkumpul di luar pusat pengagihan di seluruh negara sejak Jumaat lalu, selepas kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sehingga 4,000 peso (RM320) kepada golongan yang memerlukan untuk perbelanjaan persekolahan.
Di bandar Zamboanga, kira-kira 5,000 orang berkumpul di luar sebuah sekolah menengah untuk menerima bantuan tersebut.
“Apabila mereka dimaklumkan pagar sekolah akan dibuka, mereka terus merempuh masuk.
“Keadaan jalan yang curam menyebabkan mereka terjatuh beramai-ramai, menyebabkan kecederaan,” kata pegawai polis, Josen Samsula.
- Turut baca : Disangka potong daging rupanya ‘kerat’ zakar sendiri
Setiausaha Kebajikan Sosial Filipina, Erwin Tulfo berkata, seramai 29 orang menerima rawatan di hospital kerana kecederaan kecil.
Tulfo juga memaklumkan beliau terpaksa menghubungi pasukan polis antirusuhan bagi meredakan keadaan.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf terhadap insiden yang berlaku dan berjanji akan melakukan proses pengagihan yang lebih lancar selepas ini.
Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak keluarga terjejas sumber pendapatan, sekali gus menyukarkan mereka mengeluarkan perbelanjaan untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Kebanyakan sekolah di negara ini dibuka hari ini buat pertama kali sejak Mac 2020, menjadikan Filipina sebagai negara terakhir yang memulakan sesi persekolahan secara bersemuka.
Leave a Reply