Pukul kepala wanita, abang ‘sado’ ditahan polis

Pukul kepala wanita, abang ‘sado’ ditahan polis. Seorang lelaki yang dipercayai memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita dalam satu video tular sudah ditahan polis.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sekitar Serdang, Selangor hari semalam selepas wanita berusia 24 tahun itu membuat laporan polis.

“Suspek yang merupakan seorang penyelia kilang di Serdang ditahan dan dibawa ke IPD Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada 5 Jun 2023 jam 5.33 petang ketika wanita itu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Katanya, ketika itu wanita tersebut cuba memotong sebuah kereta Proton Persona warna kelabu yang berada di hadapannya tetapi gagal.

“Suspek yang menaiki kereta Persona itu kemudiannya menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar sebelum turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa.

“Apabila mangsa menurunkan cermin kereta, suspek telah memarahi dan secara tiba-tiba memukul kepala mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya, tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki berbadan sasa memarahi seorang pemandu wanita sebelum bertindak memukul kepala mangsa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kerana lelaki itu tidak berpuas hati dengan cara pemanduan wanita tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*