Puad : Hishammuddin ‘watak utama’ bawa Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein adalah “watak utama” membawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15, dakwa seorang pemimpin Umno.

Menjelaskan tindakan Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mendakwa bekas menteri itu sering membelakangkan parti untuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP Umno ke rumah Azmin Ali. Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishammuddin,” kata Puad di Facebook.

Mengenai tindakan Khairy Jamaluddin dipecat dari Umno, beliau mendakwa dirinya tidak pasti mengenai perkara itu namun menyifatkan Khairy sudah “melampau”.

Beliau merujuk tindakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang memburukkan parti ketika kempen PRU15, selain memfitnah rombongan pengundi hantu dibawa masuk semasa undian usul pada Perhimpunan Agung Umno 2022.

Khairy sebelum ini menyifatkan usaha menyekat jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan sebagai “kegilaan” yang membelakangkan demokrasi.

“Tidak pasti kenapa KJ dipecat. Tetapi KJ melampau. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi.

“Memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa PAU Umno 2022 ada niat jahat,” kata Puad.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas pengerusi BN Selangor, Noh Omar dipecat.

Katanya, mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Selain Hishammuddin, turut digantung keahlian selama enam tahun adalah bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.

Dalam pada itu, Puad menasihati mereka yang dipecat agar membuat rayuan sekiranya benar cintakan parti.

“Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*