Seorang pemimpin kanan Umno mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin mempunyai motif tersembunyi di sebalik kesediaannya untuk bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata memandangkan dana Bersatu dibekukan di tengah-tengah siasatan SPRM, Perikatan Nasional (PN) mungkin memerlukan “sedekah mega” untuk kempen pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Puad turut membidas PAS kerana mendakwa parti itu mendapat manfaat daripada “perbelanjaan mewah” PN semasa pilihan raya umum ke-15.
“Muhyiddin berkawan semula dengan Tun M (Mahathir) mungkin kerana faktor wang. Tun M masih banyak duit dan banyak sumber. Kita tengok bagaimana PN bersedekah masa PRN nanti.
“Di PRU 15, PN belanja mewah. PAS tumpang semangkuk. Kali ini akaun Bersatu kena beku. Bolehkah PN menang tanpa sedekah mega? Sebab itu Muhyiddin kena kowtow Tun M,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Mahathir, yang meninggalkan Umno untuk menubuhkan Bersatu – dengan Muhyiddin sebagai presiden – akhirnya meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Pejuang, yang kemudiannya juga ditinggalkan Mahathir.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengalu-alukan kenyataan Mahathir tentang bekerjasama untuk kepentingan Melayu.
Ahli Parlimen Pagoh itu, yang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, berkata perkembangan politik terkini meletakkan Melayu dan Islam di negara ini berada di persimpangan jalan.
Justeru, katanya, sebagai seorang Muslim, dia secara peribadi bersedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin Melayu-Islam, termasuk Mahathir, untuk memperjuangkan bangsa, agama, dan negara.
Dalam temu bual dengan Malaysia Now, Mahathir ditanya sama ada dia sanggup bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi dalam apa jua aspek demi masa depan negara.
Mahathir tidak memberikan jawapan secara langsung tetapi sekadar berkata dia bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai objektif yang sama mengenai bangsa dan agama.
Leave a Reply