PRU15 awal : “Kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai,” – Takiyuddin

PRU15 awal : “Kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai,” – Takiyuddin.

Pas sedia masuk gelanggang jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal sebelum Parlimen terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam nada optimis berkata, pihaknya bukan takut kalah sekiranya PRU diadakan tahun ini, bahkan sedia bertembung dengan sesiapa sahaja.

PRU15 awal : “Kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai,” - Takiyuddin
Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

‘Setakat ini tiada sebab PRU itu perlu dibuat tergesa-gesa. Bukan sebab Pas takut kalah, kita lawan tetap lawan sebab dalam PRU tidak ada pun keputusan yang seri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kementerian tersebut di Wisma Sumber Asli, di sini, hari ini.

Turut baca

Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan PRU15 lebih awal. Ia boleh diadakan selepas tamat tempoh memorandum persefahaman yang dimeterai beliau dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 31 Julai ini tanpa perlu tunggu tahun depan.

Justeru, timbul spekulasi hangat yang membayangkan PRU-15 dibuat sebelum akhir tahun ini kerana dianggap waktu terbaik dengan mengambil kira sentimen sokongan positif kepada BN. Pandangan itu dibidas beberapa pemimpin Pas tertentu sebelum ditempelak pelbagai tokoh UMNO yang menyindir parti Islam tersebut takut kalah serta hilang jawatan kerajaan.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, tempoh Dewan Rakyat penggal Ke-14 masih berbaki setahun dan kerajaan pula ada tanggungjawab memulihkan negara pasca Covid-19.

“Bubar Parlimen sebenarnya bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Kabinet dan bukan daripada Perdana Menteri yang kena juga rujuk Kabinet,” katanya.

Sehubungan itu beliau secara peribadi berpendapat tindakan pemimpin tertentu UMNO dan Pas berbalas-balas kenyataan mengenai isu tersebut bukan pandangan parti masing-masing.

Ditanya aPakah ‘serangan’ antara pelbagai tokoh UMNO dan Pas menggambarkan hubungan renggang kedua-dua parti itu, beliau berkata, dalam arena politik ia cuma perkara yang biasa.

Dua parti berkenaan jelasnya, adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan ketika ini dan tidak timbul polemik atau tanggapan persepsi kononnya berlaku percakaran amat serius.

Beliau melihat suasana kerajaan di peringkat Pusat pada masa ini tiada sebarang masalah besar tercetus kerana semua ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai,” katanya dalam nada berjenaka merujuk bidalan lama masyarakat Melayu mengenai risiko cabaran dihadapi ketika berpolitik.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*