Projek LCS: Fokus siapkan kapal dengan wang berbaki – Rafizi

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membidas pihak yang mempersoalkan pendiriannya berhubung isu skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau sudah pun selesai melakukan pendedahan berkenaan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam projek tersebut dan susulan daripada itu, ada pihak telah didakwa manakala terdapat siasatan yang masih berjalan.

“Fokus sekarang siapkan dua hingga tiga LCS dengan wang berbaki,” katanya yang juga Menteri Ekonomi menerusi satu ciapan ringkas di Twitternya pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan status pendedahannya berkenaan skandal projek pembinaan kapal terbabit.

Media sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Susulan itu, Rafizi pada pertengahan Ogos lalu mula membuat beberapa siri pendedahan mendakwa berlakunya keraguan membabitkan beberapa syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 10 Disember lalu berkata, kerajaan akan tetap meneruskan pembinaan LCS yang menurutnya merupakan aset strategik bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Projek LCS: Fokus siapkan kapal dengan wang berbaki - Rafizi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*