PRN : Jangan sentuh isu 3R – KPN

Ketua Polis Negara keluar amaran, jangan sentuh isu 3R. Parti-parti politik yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif dan hasutan yang boleh menimbulkan kekacauan sepanjang tempoh kempen pilihan raya berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana tanggungjawab polis adalah untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan memastikan keselamatan terjamin tanpa menggugat ketenteraman awam.

Justeru, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan sekiranya ia berlaku.

Menerusinya, polis akan bertindak memantau kempen-kempen dan ceramah-ceramah yang dijalankan parti politik termasuk media sosial.

“Nasihat kita, isu sensitif 3R ini jangan disentuh, yang boleh mendatangkan kegusaran, mendatangkan ketidakharmonian dalam perjalanan pilihanraya ini sendiri dan juga patuhilah undang-undang terutamanya Akta Pilihan Raya,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya memohon permit ceramah membabitkan enam negeri lebih awal, bagi memastikan tiada pertembungan berlaku antara parti politik di lokasi sama ketika berceramah.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat PRU DUN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town.

Seramai 40,000 pegawai dan anggota polis akan dikerahkan pada PRN DUN membabitkan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*