PRK : Pulai, Simpang Jeram milik Pakatan Harapan

PRK : Pulai, Simpang Jeram milik Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaannya di Parlimen Pulai dan (Dun) Simpang Jeram selepas menewaskan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.

Keputusan rasmi menyaksikan calon PH, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker Dun Johor menang selesa dengan meraih 48,283 undian.

Jumlah itu jauh mengatasi pesaingnya iaitu calon daripada PN, Zulkifli Jaafar yang memperolehi 29,642 undi dan calon bebas, Samsudin Mohamad dengan 528 undi.

Sementara itu, bagi PRK Dun Simpang Jeram pula, calon PH, Nazri Abdul Rahman berjaya memperoleh sebanyak 13,844 undian.

Beliau mengalahkan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dengan 10,330 undi sementara S Jeganathan (calon bebas) dengan 311 undi.

Dun Simpang Jeram merekodkan seramai 40,379 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 24,485 pengundi direkodkan keluar mengundi pada Sabtu.

Manakala Parlimen Pulai merekodkan seramai 166,653 pengundi berdaftar, namun daripada jumlah itu hanya 44,907 pengundi yang menjalankan tanggungjawab mereka.

Kedua-dua PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, PN dan calon bebas.

PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin yang memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan penyandang kedua-dua kerusi berkenaan buat kali kedua.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*