PRK KKB : PN berjaya kalahkan calon Bebas, PRM tapi ‘tewas’ kepada PH dengan majoriti 3,869

Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas merampas kerusi itu daripada MCA pada 2013.

Begitu pun, PH menerusi calonnya, Pang Sock Tao menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 3,869 berbanding 4,119 undi yang dimenangani penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong.

Menerusi saingan empat penjuru, Sock Tao memperolehi 14,000 undi.

Sementara tiga pencabarnya, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin masing-masing meraih 188 dan 152 undi.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Audree Kamaruddin di Pusat Pengiraan Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor malam ini.

Yuhanas berkata, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 61.51 peratus dengan 263 kertas undi yang ditolak.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kerusi DUN N.06 diisytihar kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor selepas penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia 21 Mac lalu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian UMNO Kuala Kubu Baharu, Sock Tao merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepadanya.

Kata Sock Tao, beliau akan menyelesaikan masalah yang menjadi keperluan terdesak penduduk Kuala Kubu Baharu sebagai tugas pertama menjadi wakil rayat DUN itu.

“Inilah kemenangan buat penduduk di Kuala Kubu Baharu dan saya mengucapkan terima kasih kepada mendiang Lee Kee Hiong yang selama ini berdedikasi berkhidmat.

“Saya akan bekerjasama bergerak sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah tempatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat di sini,” katanya.

Justeru, kata Sock Tao, beliau akan menjadi seorang wakil rakyat kepada semua penduduk Kuala Kubu Baharu tidak mengira kaum, agama serta latar belakang politik.

Tambahnya, perancangan beliau berpindah ke Kuala Kubu Baharu akan dibuat dalam masa terdekat dan kini sedang mencari rumah sesuai untuk berbuat demikian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*