IPOH – Seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging ditahan selepas dilaporkan mengamuk di Dataran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Dato Panglima Bukit Gantang di sini pada Selasa.
Tangkapan ke atas warga tempatan berusia 31 tahun itu dilakukan polis yang menerima maklumat tersebut sekitar jam 2.45 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sewaktu anggota menghampiri, suspek bertindak agresif dengan melibaskan pisau tersebut beberapa kali ke arah polis.
Menurutnya, keadaan itu memaksa polis mengambil tindakan dengan menggunakan kekerasan minimum untuk menangkap suspek.
“Semasa tangkapan dibuat, berlaku pergelutan sehingga seorang daripada anggota polis cedera di siku, namun tiada orang awam yang mengalami sebarang kecederaan.
“Setelah tangkapan dibuat, suspek telah dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut bersama rampasan senjata sebilah pisau pemotong daging,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja gagal mengemukakan kad pengenalan diri dan hanya memberi butiran diri secara akuan lisan.
Katanya, semakan dilakukan kemudiannya mendapati suspek yang beralamat di Taiping mempunyai empat rekod lampau jenayah dan sembilan bersabit kes penyalahgunaan dadah.
“Suspek dibawa ke Hospital Bahagian Ulu Kinta bagi menjalani rawatan awal kerana disyaki mempunyai penyakit masalah mental.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Insiden berkenaan turut tular di media sosial menerusi vidoe berdurasi 58 saat memaparkan tangkapan dibuat polis ke atas suspek.
Turut baca :
Leave a Reply