Polis jejak aliran kewangan, penjaga akaun GISBH ditahan – Tan Sri Razarudin

Seorang individu dikenali sebagai Tuan Usu disyaki bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan aliran kewangan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah ditahan pihak polis, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Tuan Usu diberkas menerusi Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

“Dia diberkas selepas pihak polis memberkas pemimpin utama GISBH, Nasiruddin Mohd Ali di ibu negara, minggu lalu. Pada masa ini siasatan susulan masih dijalankan terhadap suspek bersama beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.

“Dari situ kita akan jejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Facebook PUKAS Malaysia mendedahkan Tuan Usu disyaki antara individu penting yang memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISBH.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 19 individu dipercayai pimpinan tertinggi GISBH ditahan di sebuah kediaman di Jalan Imbi, di sini, 19 September lalu.

Mereka yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin, isteri dan dua anaknya dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 5.40 pagi.

Dalam perkembangan sama, laman Facebook PUKAS turut mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta melalui 58 zon di seluruh dunia.

Katanya, duit akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas sebelum disalurkan kepada pengutip atau pengumpul dana iaitu Shuhaimee dan seorang wanita dikenali sebagai Hamimah.

Wang berkenaan akan diagihkan kepada 10 individu penting sama ada untuk disimpan atau digunakan untuk membeli aset-aset di atas nama peribadi ahli-ahlinya selain sebahagian kecil untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*