PN luluskan filem ‘Pulau’, PAS pula persoal PH

Filem Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac ini menerima kritikan hebat selepas adegan dalam filem berkenaan dikatakan mengandungi adegan panas dan menampilkan pelakon-pelakon dengan imej mencolok mata.

Bekas timbalan menteri agama, Datuk Marzuk Shaary juga tidak terlepas untuk mengecam filem berkenaan kerana dakwanya filem bengenre seram itu mengandungi babak lucah.

Pemimpin Pas itu sempat menyindir pemimpin Kerajaan Perpaduan yang dikatakannya sebagai berdiam diri dalam isu tersebut.

PN luluskan filem ‘Pulau’, PAS pula persoal PH

Bagaimanapun, seperti yang didedahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataannya semalam, Pulau sebenarnya telah menerima kelulusan dari Lembaga Penapis Filem (LPF) pada September tahun lalu.

Atas sebab itu, netizen memulangkan paku buah keras kepada Marzuk kerana pada tempoh yang disebutkan Finas itu, Perikatan Nasional (PN) yang bertanggungjawab meluluskan adegan berkenaan.

“Filem Pulau diluluskan dengan syarat dan diklasifikasi P13 oleh LPF pada 15 September 2022.

“Menteri Kementerian Dalam Negeri pada 15 September 2022 ialah PN. Menteri Agama pada 15 September 2022 ialah PN.

“Bak pepatah….PN makan tahi, PN cirit tahi, PN tanya PH sebab apa ada bau tahi,” selar pengguna Twitter @adrianlimcheeen.

Untuk rekod, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu) merupakan menteri KDN sewaktu pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (2020), dan kemudian dilantik ke jawatan sama di dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2021-2022).

Manakala menteri agama pada tahun 2022 pula disandang pemimpin Pas, Senator Idris Ahmad.

Terdahulu, FINAS menegaskan tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan Pulau yang mencetuskan kontroversi ekoran tersebarnya trailer filem memaparkan wanita berbikini dan beraksi ghairah itu.

Bagaimanapun, kata FINAS, pihaknya boleh membatalkan lesen sekiranya pemegang lesen disabitkan kesalahan berkaitan kecurangan, penipuan atau keburukan akhlak.

Filem Pulau dibintangi barisan pelakon popular seperti Alif Satar, Amelia Henderson, Namron, Ikmal Amry, Sabronzo, Mark O’dea, Sanjna Suri, Miss Pui Yi dan ramai lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*