PN berbelanja mewah, RM700 juta digunakan hanya untuk promosi kerajaan

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin didakwa membelanjakan dana kerajaan sebesar RM300 juta dalam tempoh setahun bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 2020 hingga 2022, kerajaan di bawah Perikatan Nasional ketika itu telah membelanjakan keseluruhan RM700 juta, yang dianggapnya sebagai keterlaluan dan melanggar tata kelola.

Mahiaddin menjadi Perdana Menteri Ke-8 selama 18 bulan bermula 1 Mac 2020 sebelum mengumumkan perletakan jawatannya pada 16 Ogos 2021.

Pada 20 Ogos 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Perdana Menteri Ke-9 dan kemudian mengumumkan pembubaran Kabinet pada 10 Oktober 2022. Beliau menjadi PM selama 14 bulan.

“Bermakna hampir lebih RM500 juta dibelanja semasa (Ahli Parlimen) Pagoh dan selebihnya oleh (Ahli Parlimen) Bera. Tapi Bera belanja sedikit kerana ada lebihan.

“Jadi (keseluruhan) RM700 juta. Pada peringkat awal (Mahiaddin belanja) RM300 juta untuk satu tahun, itu melanggar peraturan dan tatakelola dan keterlaluan.

“Oleh itu saya telah mengarahkan perbelanjaan mulai tahun depan dan tahun ini, ambil kontrak sedia ada. Meneruskan apa yang telah dipersetujui Bera,” katanya ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) yang bertanya jumlah keseluruhan telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian Kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital dan juga media televisyen sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan MADANI tidak menyediakan peruntukan baharu bagi pelaksanaan kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian sepanjang 2023.

Sebaliknya beliau hanya menggunakan peruntukan sedia ada yang ditinggalkan ketika pentadbiran Ismail Sabri tahun lalu.

Anwar mengarahkan MOF agar tidak meluluskan dana lebih daripada RM100 juta untuk tujuan terbabit tahun depan.

“Sementara kita anggap penjelasan penerangan itu perlu, saya tidak fikir kerajaan perlu dibebankan dengan iklan dan publisiti tambahan untuk promosi.

“Kita gunakan jentera sedia ada. Kita galakkan menteri dan jemaah menteri serta Ahli Parlimen untuk turun ke bawah selain dari program biasa untuk bantu jelaskan pada rakyat,” jelasnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*