Laman sosial Tan Sri Abdul Hadi Awang dihujani kritikan ramai selepas Presiden Pas itu memuatnaik coretan berkenaan konsep Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam catatan Minda Presiden, Hadi Awang menghuraikan tentang ‘Madani acuan Allah’ di mana katanya, Madani perlu berteraskan perintah Allah.
Madani juga katanya bukanlah seperti jenama ubat yang boleh disyarahkan mengikut selera penjualnya bagi menarik pelanggan seberapa ramai untuk sementara waktu.
Justeru katanya, bagi membina semula bangunan yang sudah rosak, bahan yang rosak dan buruk tidak boleh diambil, digunakan semula, atau dikitar semula.
Bagaimanapun ulasannya tentang konsep Madani dipertikai oleh pengguna media sosial yang bertanya apa sumbangan Presiden Pas itu ketika menjadi sebahagian dari pemerintahan Perikatan Nasional.
Mereka dilihat membangkitkan semula kes rasuah ketika pilihan raya yang lalu membabitkan Pas di kawasan Pantai Timur.
Pas sebelum ini didakwa memberi duit kepada pengundi luar dan menyuruh mereka bersumpah akan mengundi Pas.
Hadi telah menjawab isu tersebut mengatakan pemberian wang kepada pengundi bukan rasuah, sebaliknya sedekah jika ia dilakukan orang awam.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian mengeluarkan kenyataan menegaskan perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya, adalah salah dan dikira rasuah.
Pada masa sama, isu kenaikan judi dari lapan kali kepada 22 kali ketika pentadbiran PN yang disertai Pas turut menjadi bualan di sosial media.
“Semasa Tuan Haji dalam kerajaan, kerajaan naikkan cabutan khas judi dari 8 ke 22 kali setahun. Adakah tindakan Tuan Haji itu mengikut Madani acuan Allah seperti yang Tuan Haji tulis ini?,” soal @mysrtmz.
“Terima kasih pencerahannya. Maaf tanya, kenapa anda tidak langsung ada inisiatif Madani ini waktu anda sebahagian pemerintah sebelum ini? Kami agak kecewa dengan ulama yang punya Ilmu tinggi tetapi tidak implementasikan cara yang benar seperti teori yan tuan kongsi,” komen @AbdulRa.
Leave a Reply