Rancangan kumpulan pesawah yang ingin menghantar memorandum berhubung isu kenaikan harga lantai padi di Bangunan Perdana Putra hari ini tidak kena pada waktunya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ini kerana ia akan bertembung dengan kunjungan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto yang bakal mengadakan lawatan negara ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Justeru, beliau meminta agar golongan pesawah itu sebaik-baiknya tidak mengganggu lawatan rasmi pemimpin negara jiran itu, sebaliknya menetapkan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
“Saya ingin sebut ada cadangan dari beberapa pesawah dari utara datang ke Putrajaya esok (hari ini) dan kita ada tamu negara, Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi atas undang Yang di-Pertuan Agong dan saya, ada perjumpaan berikutnya di Putrajaya.
“Saya tidak menghalang hendak ada pertemuan, serah memo kepada Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan), silakan. Tetapi buat urusan tetapkan masa yang sesuai dan saya tidak setuju sama sekali untuk diadakan apa jua perhimpunan mengganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara, Presiden Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri pada Syarahan Perdana Professor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam semalam.
Baca juga :
Leave a Reply