PM ‘selar’ pihak ‘bantah’ projek perumahan Madani golongan B40 dan M40

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap beberapa pihak yang membantah pembinaan projek perumahan rakyat bagi golongan B40 dan M40 di negara ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menghalang pembangunan di mana-mana kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabaikan.

Katanya, majoriti rakyat di Kuala Lumpur adalah kumpulan M40 dan B40.

“Kehebatan mana-mana kota tidak hanya ditandai oleh mercu tanda yang hebat atau bangunan pencakar langit tetapi juga keselesaan kepada rakyat.

“Tiap kali kita buat perumahan rakyat, ada saja bantahan. Termasuk Taman Desa ini, kawan-kawan saya ada teks, dia kata ganggu, macam mana dengan kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap pada Majlis perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani, di Tapak Pembinaan Projek Rumah MADANI, Taman Desa, di sini,semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, dalam menangani isu membabitkan keperluan perumahan rakyat, beliau menetapkan dasar yang jelas.

“Ada kawasan-kawasan mewah yang nak dibangunkan, jangan kita halang. Itu bukan masalah, saya tidak anjurkan perseteruan mana-mana kumpulan.

“Tetapi jangan sekali-kali abaikan kepentingan majoriti rakyat. Sebab itu saya tekankan mengenai rumah Madani dan beri tumpuan serta perhatian,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan supaya pembangunan projek perumahan mampu milik di ibu kota disegerakan bagi memenuhi permintaan tinggi khususnya terhadap golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, pembangunan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuklah aspek keselesaan.

“Kalau lengahkan kelulusan, kos rumah jadi lebih tinggi. Syarikat tidak akan rugi tetapi nak untung.

“Kos rasuah, kos bank semua akhirnya akan terbeban kepada pembeli. Negara tidak akan maju, kalau begini rakyat tidak akan terbela,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu kemajuan setiap projek dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Anwar merasmikan majlis pecah tanah Residensi Madani membabitkan sebanyak 800 unit yang akan dibina oleh syarikat pemaju Mah Sing Group Bhd (Mah Sing).

Projek di atas tanah berkeluasan 0.99 hektar itu membabitkan pembinaan satu blok berkeluasan 800 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM200,000.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang ditemui media pada majlis itu berkata, beliau mewakili persatuan penduduk Taman Desa, meminta kerajaan mengkaji semula dasar projek pembangunan berkepadatan tinggi dan menambah baik kemudahan bagi penduduk khusunya di Taman Desa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*