“PM perlu jawab…” Rampasan aset Petronas, Salahuddin fail usul tergempar parlimen

Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub telah memfailkan usul tergempar untuk Dewan Rakyat membahaskan rampasan aset Petronas oleh pihak yang dikatakan kesultanan Sulu itu.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata perkara penting ini perlu dibincangkan dalam sidang parlimen bermula 18 Julai hingga awal Ogos depan itu.

“Saya telah menghantar satu usul tergempar kepada speaker Dewan Rakyat berkaitan dua anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas oleh kesutanan Sulu.

“Perkara ini wajib dijawab perdana menteri dan mesti dibahaskan pada sidang parlimen yang akan datang.

“Rakyat wajar mendapat penjelasan berkaitan perkara ini memandangkan ia adalah aset negara kita,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Usul tergempar bertarikh 12 Julai itu diajukan dibawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) (2) berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

“Perdana menteri perlu menjelaskan apakah langkah perundangan yang telah dan sedang diambil oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia dan Petronas berkaitan perkara ini,” kata Salahuddin dalam usul kepada Speaker Parlimen Azhar Azizan.

Semalam, Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan waris kesultanan Sulu yang dikatakan itu menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia – merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*