PM : Hanya pihak takut salah laku terdedah cuba jatuhkan kerajaan

Anwar Ibrahim berkata beliau percaya sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan diketuainya dilakukan pihak yang takut salah laku mereka terdedah.

Perdana menteri berkata, pentadbirannya tidak akan menekan mana-mana pihak jika mereka tidak terlibat dengan rasuah, kezaliman dan pemerasan terhadap rakyat.

“Saya tidak akan dianggap berjaya kalau gunakan kuasa untuk menekan musuh tanpa fakta dan data dan bukti yang nyata,” katanya ketika ditemubual dalam program naratif khas bersama perdana menteri.

Anwar berkata, beliau memahami apa erti kezaliman disebabkan pengalaman lalu dan tidak gusar kestabilan kerajaan pimpinannya yang didukung 148 Ahli Parlimen.

Katanya, berbanding majoriti dimiliki kerajaan terdahulu yang tipis, sebarang usaha membeli mana-mana Ahli Parlimen kerajaan tidak akan mengubah kedudukan kerajaan semasa.

“Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri baik daripada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional atau Gabungan Parti Sarawak, dukungan mereka itu jelas.

“Seperti mana dilihat peranan Timbalan Perdana Menteri Zahid (Hamidi), Timbalan Perdana Menteri Fadillah (Yusof). Peranan mereka itu mendukung penuh semangat,” katanya.

Mengenai pergolakan politik semasa Sabah, Anwar berkata perkara itu hanya disebabkan majoriti kecil kerajaan negeri semasa.

Justeru, beliau yakin perkara sama tidak akan berlaku di peringkat persekutuan disebabkan jumlah majoriti yang besar dan kukuh dimiliki kerajaannya.

“Tetapi ini tidak boleh digambarkan keadaan di persekutuan. Setakat ini tidak ada sedikit pun bayangan melainkan yang disuarakan pembangkang,” katanya

Anwar berkata, beliau sudah menasihatkan pemimpin utama Sabah khususnya Ketua Menteri Hajiji Noor, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal supaya berunding terlebih dulu bagi mencari jalan terbaik.

Turut baca :

PM : Hanya pihak takut salah laku terdedah cuba jatuhkan kerajaan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*