PM beri amaran, jangan tunggang agama demi kepentingan politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terutama kepada pemimpin parti tidak kira kaum, jangan menunggang isu agama bagi meraih kepentingan politik.

Katanya, kerajaan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memainkan polemik 3R (kaum, agama, institusi diraja) yang dikhuatiri akan menggugat perpaduan rakyat.

“Siapa langgar (cuba tunggang agama), kena ikut jalur hukum (berdepan tindakan undang-undang), jadi terutama pimpinan mana-mana parti ataupun masyarakat, janganlah tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi…kalau diteruskan, (tindakan itu) akan bakar, musnahkan (perpaduan) rakyat,” katanya tanpa menyebut dengan khusus mana-mana pemimpin.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ternas Jernang, Bandar Baru Bangi.

Polemik terbaru tercetus apabila pendakwah bebas Zamri Vinoth menyifatkan penganut Hindu yang membawa kavadi seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’ dalam catatan di Facebook.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah kemudian membidas kenyataan itu, menggesa tindakan segera diambil terhadap Zamri bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh dan RSN Rayer turut mengecam kenyataan Zamri, dengan Rayer membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menggesa tindakan tegas diambil terhadap beberapa individu termasuk Vijayan Savarinathan dan pemilik akaun TikTok ‘Crime_Man’ yang dikatakan menghina agama di media sosial.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*