PM Anwar : Masalah utama negara adalah ekonomi, bukan ketidaksefahaman kaum

Masalah dihadapi negara ketika ini adalah dari segi ekonomi dan tadbir urus yang harus diberi fokus, bukannya ketidaksefahaman antara kaum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Justeru, Anwar berkata fokus kerajaan perpaduan pimpinannya antaranya adalah mendapatkan kepakaran daripada golongan profesional tanpa mengira kaum dan fahaman politik untuk membangun dan mengurus sebagai satu pasukan.

“Mari kita selesaikan perkara ini, niat dan sasaran kami untuk memastikan reputasi dan keyakinan kepada negara dikembalikan,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama jawatankuasa kuil di seluruh negara di Seri Perdana.

Anwar berkata, suhu ketajaman politik ketika ini perlu diturunkan supaya negara boleh bangkit semula dan membawa agenda pembangunan itu bersama.

“Apa yang diperlukan orang India, Cina, Sarawak dan Sabah untuk menyelesaikannya ialah keberanian untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan, untuk bangkit melindungi negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau yakin negara dapat bangkit semula lebih kuat dan hebat sekiranya ada kepercayaan, saling hormat-menghormati dan kasih sayang sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*