Pindah milik tanah RM100 juta, 4 Datuk ditahan

Pindah milik tanah RM100 juta, 4 Datuk ditahan.   Polis menahan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pindah milik tanah milik sebuah agensi badan berkanun seluas 1,699.68 hektar bernilai lebih RM100 juta di Kluang, Johor, 28 tahun lalu.

Difahamkan, salah seorang daripada mereka ditahan di Johor manakala tujuh lagi ditahan di Kuala Lumpur dan Selangor ketika hadir memberi keterangan antara 3 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata mereka ditahan berusia antara 46 hingga 75 tahun berperanan sebagai ahli lembaga pengarah koperasi dan pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika itu.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang penolong pegawai tanah di agensi badan berkanun berkenaan, Januari lalu yang mengesan pindah milik tanah itu pada pertengahan tahun lalu.

“Pengadu mendakwa tiga lot tanah milik agensi itu telah dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi itu,” katanya menurut Bernama.

Kamarul berkata, tiga lot tanah terbabit sebelum itu dianugerahkan kerajaan negeri kepada agensi berkenaan pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta.

“Siasatan mendapati sebelum tanah terlibat dipindah milik ke syarikat berkenaan, tanah tersebut telah dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994. Urusan pindah milik tersebut hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai pejabat tanah dan galian negeri dan pegawai agensi badan berkanun berkenaan telah dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka diberi jaminan polis selama sebulan sementara kertas siasatan disiapkan serta dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya.

Pindah milik tanah RM100 juta, 4 Datuk ditahan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*