PH tetap lawan rasuah walau kerjasama dengan BN

Pakatan Harapan (PH) komited menentang rasuah dan kleptokrasi meskipun gabungan itu bersetuju bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama dengan BN dibuat atas dasar memulihkan semula ekonomi negara.

Fahmi Fadzil

Meskipun sedar kedua-dua gabungan mempunyai fahaman, agenda dan perjuangan politik berbeza, katanya, PH tidak mempunyai banyak pilihan dalam keadaan semua parti politik tidak mencapai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Selesai sahaja pilihan raya, tibalah tanggungjawab untuk membina negara sebab kita fahami masalah besar yang dihadapi dalam aspek ekonomi dan sosial. Jadi, kita mesti ketepikan perbezaan, menjunjung titah diraja dan mencari jalan bekerjasama meskipun berbeza pandangan politik.

“Sisi yang positif ialah keterbukaan BN khususnya UMNO untuk bersama-sama memulihkan negara selepas ini. Jadi, inilah salah satu bentuk reformasi.

“Walaupun kami bekerjasama, namun PH tidak akan melepaskan prinsip urus tadbir yang baik dan melawan rasuah. Kita lihat beberapa isu yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini seperti ekonomi dan hubungan antara kaum yang perlu diperbaiki. Jadi, ini yang menjadi agenda kerajaan perpaduan,” kata Ketua Penerangan PKR ketika dihubungi semalam.

BN dikaitkan dengan ‘kluster mahkamah’ menyaksikan beberapa pemimpinnya didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah, pecah amah dan salah kuasa itu.

Antara pemimpin yang didakwa dan kes masih dibicarakan ialah bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi;dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, hasil bekerjasama dengan BN telah mengelakkan Perikatan Nasional (PN) daripada menerajui negara, kerana sikap gabungan itu yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Sekarang kita bersama atas dasar bersetuju menentang golongan ekstremis agama dibawa PN. Sebab itu BN lebih sudi bekerjasama di mana kami membawa agenda tadbir urus bersih, bebas rasuah dan isu kaum. BN pun sudah sedar dan insaf. Sekarang ini akan ada ancaman lebih besar iaitu politik fitnah, adu domba, ekstremis agama oleh PN.

“Memang PH dan BN saling ‘menyerang’ sebelum ini, tetapi sampai bila nak serang? Sekarang ini serangan telah mendatangkan hasil kepada PH dengan BN hanya ada 30 kerusi yang menunjukkan rakyat menolak budaya politik wang dan kleptokrasi,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*