PH tentang keputusan Muhyiddin, Mahathir haramkan UMNO

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) menentang keputusan dua pimpinan kerajaan terdahulu mahu mengharamkan Umno.

Pengerusi PH tersebut berkata, keputusan untuk mengharamkan Umno diakui sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Presiden Bersatu.

“Muhyiddin beritahu saya sendiri di rumahnya, kita terpaksa (haramkan Umno) kerana banyak masalah Umno ni, kita akan haramkan.

“Ini keputusan siapa? Dia (Muhyiddin) dengan Mahathir. Saya Presiden Keadilan dan Ketua Pembangkang (ketika itu).

“Saya kata, kita lawan Umno. Saya tidak setuju mengharamkan.

“Jadi, bila kita bantah keputusan untuk mengharamkan Umno, dia kata ini keputusan Mahathir dan dia.

“Saya kata tak mengapa, kamu boleh terus. Tak mengapa. Saya yakin Mat Sabu (Presiden AMANAH) dan Lim Guang Eng, kita tidak setuju.

“Kita lawan Umno tapi kita tak bersetuju bubarkan Umno,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ceramah mega Perpaduan DUN Hulu Kelang di Taman Permata, Hulu Kelang malam tadi.

Anwar berkata Muhyiddin sehingga kini belum menafikan pendedahan mengenai cubaan untuk mengharamkan Umno melainkan Tan Sri Annuar Musa yang sekarang muncul di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN).

“Dah tiga bulan saya cakap hal ini, dia (Muhyiddin) belum nafi. Yang nafi itu, Annuar Musa. Dia dah jadi ‘lebai’ sekarang.

“Itulah sebabnya tak jadi diharamkan sebab Pakatan Harapan menentang keputusan pengharaman Umno,” tegasnya dan disambut tepukan hadirin.

Menurutnya, tiada sebab untuk beliau mahu menghukum Umno termasuk bersetuju dengan cubaan pengharaman parti itu kerana yang menzalimi beliau sebelum ini adalah Mahathir.

“Umno ada sejarah bukan kerana ayah dan ibu saya dalam Umno. Saya pun dulu Timbalan Presiden Umno.

“Yang buang saya adalah Mahathir. Yang fitnah saya, dia (Mahathir). Pasal apa saya nak hukum orang Umno yang lain,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menempelak penerimaan Bersatu dan Pas terhadap Mahathir yang kali pertama muncul berucap di atas pentas PN di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Julai lalu.

“… puluhan tahun jadi kerajaan, kerja nak haramkan parti orang saja. Sekarang ini, diusung pula oleh Bersatu dan Pas. Selamatlah kamu.

“Ambillah (Mahathir). Kami pun tak mahu,” tegas Anwar lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*