Pertumbuhan ekonomi Malaysia antara terbaik di Asia – PM

Kuasa dan kekayaan khazanah negara harus digunakan untuk membangun semula Malaysia agar muncul sebagai gergasi ekonomi baru, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ekonomi Malaysia masih berada dalam landasan yang kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama tahun ini, walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.

“Pertumbuhan tersebut adalah antara yang terbaik di rantau ini iaitu sebanyak 5.6 peratus berbanding China pada 4.5 peratus, Indonesia pada 5.0 peratus dan Vietnam pada 3.3 peratus,” beliau berkata demikian semasa amanat perdana di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata Malaysia turut mencatatkan kadar inflasi yang rendah berjumlah 3.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding negara serantau.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk membangunkan semula Malaysia dan membela nasib rakyat dengan kerjasama daripada kabinet bagi menarik lebih banyak pelaburan luar ke dalam negara.

Ia terbukti dengan pelaburan digital berkualiti oleh Amazon Web Services, yang bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion, tambahnya.

Selain itu, kerajaan turut menarik beberapa pelaburan lain termasuk komitment pelaburan RM170.0 bilion dari China, katanya.

“Ini ertinya good governance dan rundingan yang tidak meletakkan komisyen untuk Menteri dan keluarga mereka.

“Ini maknanya ease and speed of doing business yang harus kita tetapkan agar negara ini muncul semula sebagai gergasi di rantau ini,” kata Anwar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*