Persetubuhan tanpa rela: Bekas inspektor polis diarah bayar 2 wanita Mongolia RM820k

Mahkamah sivil memutuskan seorang bekas inspektor polis membayar RM820,000 kepada dua wanita Mongolia.

Ini berhubung kes saman persetubuhan tanpa persetujuan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia empat tahun lalu.

Istilah ‘perhubungan seks tanpa persetujuan’ digunakan untuk tindakan saman di mahkamah sivil manakala istilah ‘rogol’ hanya digunakan untuk kes di mahkamah jenayah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi membenarkan saman dua plaintif terhadap defendan Hazrul Hizham Ghazali berhubung kejadian di dua bilik tidur berasingan di sebuah hotel di Petaling Jaya antara 10 dan 11 April 2020.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee memutuskan Hazrul gagal menangkis keterangan kedua-dua wanita itu kerana lelaki berusia 34 tahun itu tidak hadir perbicaraan penuh mahkamah pada tahun lepas untuk memberi keterangan di kandang saksi.

Hakim berkata wanita berkenaan memberi keterangan mereka bertemu Hazrul apabila plaintif dihalang pada sekatan jalan raya di Petaling Jaya pada malam 10 April 2020.

Johan berkata kedua-dua mereka diarah keluar dari kereta dan dibawa ke khemah polis berhampiran, sebelum Hazrul membawa wanita itu ke bilik tidur berasingan di sebuah hotel.

Hakim berkata Hazrul melakukan persetubuhan tanpa persetujuan dengan kedua-dua plaintif, sekurang-kurangnya lima kali dengan salah seorang wanita dan dua kali dengan wanita yang lain.

“Secara ringkasnya, selepas mempertimbangkan keterangan saksi dan penghujahan yang tidak dipertikaikan dan tidak dicabar, saya mendapati bahawa plaintif telah membuktikan pada imbangan kebarangkalian,” kata Johan.

Hakim kemudiannya memerintahkan Hazrul, yang tidak hadir dalam prosiding mahkamah sivil hari ini membayar RM460,000 kepada seorang daripada wanita itu dan RM360,000 lagi kepada wanita lain.

Johan turut memerintahkan defendan membayar kos RM20,000 kepada setiap wanita itu.

Peguam Nathalie Annette Kee Xuan Li hadir mewakili kedua-dua wanita itu, dengan salah seorang daripada mereka hadir melalui aplikasi zoom dalam talian.

Peguam Hazrul pada tahun lepas melepaskan diri daripada bertindak bagi pihak defendan, sebelum perbicaraan penuh bermula.

Pada April 2020 di hadapan mahkamah sesyen jenayah, Hazrul didakwa atas dakwaan menahan dua wanita itu secara tidak sah dan merogol mereka berulang kali di hotel itu.

Pertuduhan jenayah itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang menjenayahkan penggunaan kuasa daripada jawatan dipegang untuk memaksa seorang wanita melakukan persetubuhan tanpa rela.

Jika didapati bersalah, Hazrul boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*