‘Persetan tohmahan’, Anwar tegas perangi rasuah

‘Persetan tohmahan’, Anwar tegas perangi rasuah. Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau sama sekali tidak peduli terhadap segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung pendirian dan tindakan tegas kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan rasuah.

Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak peduli jika tindakan yang diambil berhubung dakwaan rasuah merupakan satu tindakan politik.

Menurutnya, beliau bersama jemaah menteri dan agensinya serius untuk membendung isu ketirisan wang negara.

“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat dana rakyat dan merasa boleh terlepas.

“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam Kerajaan Perpaduan ini untuk melaksanakan program kita bersihkan negara daripada segala keterlanjuran perompak-perompak besar dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat.

“Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak.

“Percayalah, kawan-kawan saya dalam jemaah menteri ada, timbalan menteri ada, KSU (Ketua Setiausaha) untuk tahu kita serius untuk bangkitkan, pastikan perubahan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di Taman D. R Seenivasagam di sini hari ini.

'Persetan tohmahan', Anwar tegas perangi rasuah
ANWAR Ibrahim (tengah) menerima serahan bunga orkid hibrid baharu yang dinamakan Aranda PMX – Anwar daripada Nga Kor Ming pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di Taman D. R Seenivasagam di Ipoh hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian perlunya pembangunan dan pertumbuhan yang seimbang untuk semua rakyat dan kaum di negara ini.

Menurutnya, keseimbangan yang dimaksudkan ialah di antara golongan atasan dan rakyat, di antara gedung-gedung mewah dan taman serta kehijauannya, di antara rumah-rumah mahligai dan rumah-rumah rakyat dan di antara restoran lima bintang dan warung-warung, gerai-gerai dan restoran kecil yang perlu dipelihara dengan semua kemudahan supaya lebih indah dan bersih.

Katanya, sebagai contoh, bandar raya Ipoh bukan sahaja perlu terkenal dengan mercu tanda dan keindahannya tetapi juga gerai yang istimewa, gerai rakyat yang dipelihara yang dipastikan indah dan bersih.

“Contohnya kita kenal Kuala Lumpur dengan Twin Tower, KL Tower, dengan semua yang besar-besar tapi gerainya macam tahun 50-an. Jadi perancangan kerajaan nampak memihak kepada satu kelas, saya tidak mahu begitu.

“Kuala Lumpur orang kenal dengan kecemerlangan, keindahan tapi bila lihat landskapnya, kehijauannya, gerai, rakyat warung dan restoran kecil tak setimpal.

“Sebab itu kena perbetulkan dan tidak terlalu lambat supaya kita benar-benar menjaga nilai akhlak, menjaga pendekatan yang lebih adil, barulah jadi contoh kepada manusia lain.

“Di bawah Malaysia Madani, semua rakyat, semua kaum dipelihara diberi pembelaan dan kita mulakan dengan amalan, tindakan dan semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara akan mengambil perhatian tentang perkara ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut Anwar menerima serahan bunga orkid hibrid baharu yang dinamakan sempena nama beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10 iaitu Aranda PMX.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*