
Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi insiden rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu.
Dalam kenyataan, Astro Audio berkata keputusan itu dibuat selepas CEO dan pengurusan tertinggi syarikat itu mengadakan perjumpaan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) awal hari ini.
“Selaras dengan siasatan ini, kami memutuskan untuk menggantung tiga penyampai dan dua lagi kakitangan sebagai tambahan.
“Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat dari pelbagai pihak dan akan sentiasa memastikan kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan dan keperluan ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, pengurusan Astro Audio berkata tiga penyampai tersebut direhatkan dan pihaknya kesal dengan insiden tersebut.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.
Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Ia mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap Era FM.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.
Baca juga :
Leave a Reply